|
Panduan Ringkas Permohonan Geran Penyelidikan Lembaga Promosi Kesihatan Malaysia (LPKM).
Pengenalan
LPKM adalah sebuah Badan Berkanun di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia yang ditubuhkan pada 1 April 2007 berikutan perwartaan Akta lembaga Promosi Kesihatan Malaysia 2006 (Akta 651). Antara lain objektif penubuhannya adalah dengan menggalak dan mempertingkatkan aktiviti penyelidikan dalam bidang promosi kesihatan melalui pemberian geran.
Penyelidikan promosi kesihatan agak berbeza daripada penyelidikan-penyelidikan yang lain kerana ianya melibatkan pelbagai disiplin dan saling berkaitan antara satu dengan yang lain seperti socio-ekonomi, politik, persekitaran, pendidikan, psikologi dan sebagainya. Tujuan penyelidikan promosi kesihatan adalah mengenalpasti faktor-faktor penentu kesihatan untuk mengekal dan mempertingkatkan keupayaan masyarakat berfungsi dari segi fizikal, mental dan sosial sekaligus mempertingkatkan taraf kesihatan dan kualiti kehidupan masyarakat.
Tawaran Geran
Geran Penyelidikan ini ditawarkan kepada pemohon-pemohon yang cadangan penyelidikan mereka berkaitan dengan bidang-bidang keutamaan seperti yang disenaraikan dalam risalah ini dan berjaya melalui proses tapisan oleh Jawatankuasa Pemberian Geran.
Bidang keutamaan Geran Penyelidikan LPKM
- Pencegahan tembakau dan alkohol
- Pencegahan alkohol
- Promosi senaman dan aktiviti fizikal
- Promosi pemakanan sihat
- Promosi kesihatan mental
- Pencegahan diabetis
- Pencegahan kanser
- Pencegahan penyakit kardiovaskular
- Pencegahan obesiti (kegemukan)
- Kesihatan seksual (HIV/AIDS)
- Lain-lain seperti ’healthy settings’, ’marginalised groups’, promosi kesihatan antara-budaya, kesihatan remaja dan penjawat awam
Terma dan syarat permohonan Geran Penyelidikan LPKM
Pertubuhan-pertubuhan yang layak memohon ;
- Pertubuhan yang tidak bermotifkan keuntungan (non-profit)
- Pertubuhan yang berdaftar secara rasmi dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia
- Persatuan sukan yang berdaftar dengan Pesuruhjaya Sukan
- Syarikat berhad menurut jaminan (companies limited by guarantee) (tidak bermotifkan keuntungan) yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia
- Pertubuhan-pertubuhan amanah/yayasan
LPKM tidak membiayai penyelidikan;
- Berbentuk perubatan (bio-medical) dan klinikal.
- Sewaan dan pembelian peralatan utama seperti kenderaan dan bangunan.
- Permohonan daripada individu, kumpulan yang membuat keuntungan, perunding persendirian atau badan-badan yang tidak berdaftar.
- Pertubuhan yang menerima sebarang bentuk bantuan kewangan daripada mana-mana syarikat tembakau atau alkohol atau agen mereka.
- Penyelidikan yang telah menjadi keutamaan teras agensi kerajaan atau merupakan tangungjawab Kerajaan Persekutuan, Negeri, Daerah atau pihak berkuasa tempatan.
- Penyelidikan yang sedang dalam pelaksanaan.
- Perbelanjaan keluar negara, menghadiri persidangan atau pameran antarabangsa.
- Penyelidikan yang tidak berkaitan dengan bidang seperti tersenarai diatas dan yang tidak berunsurkan promosi kesihatan.
Kandungan kertas cadangan kajian hendaklah mengandungi perkara-perkara berikut;
o Ringkasan kertas cadangan penyelidikan
o Kenyataan kenapa perlunya penyelidikan dijalankan
o Objektif penyelidikan
o Latarbelakang dan kajian lepas (literature review)
o Kaedah/Rekabentuk kajian (research method/design)
o Persampelan/saiz sampel
o Analisis data
o Bajet/kos penyelidikan
o Tempoh kajian dan pelan pelaksanaan kajian
Cara-cara memohon
Permohonan hendaklah menggunakan borang permohonan yang boleh didapati terus dari LPKM atau laman web: www.healthpromo.gov.my . Permohon juga dikehendaki untuk menyertakan kertas cadangan penyelidikan (research proposal paper) bersama-sama dengan borang permohonan. Permohonan yang lengkap diisi hendaklah dilamatkan kepada;
Ketua Pegawai Eksekutif
Lembaga Promosi Kesihatan Malaysia
Aras 9, 11 & 12, No. 26 Boulevard,
Persiaran Perdana, Presint 3,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62675 Putrajaya
Tel : 03-88887700 ; Fax : 03-88887400
Untuk keterangan lanjut sila hubungi, Pengurus Bahagian Penyelidikan dan Pembangunan di talian, 03-8888 7700 samb. 240
|